Jumaat, 21 Februari 2014

Beza Cinta Dulu-Dulu Dan Cinta Sekarang


cinta dulu
Beza cinta dulu-dulu dan cinta sekarang yang jelas kini cinta dulu tersipu,sekarang berbulu.

Kisah cinta selalu dikaitkan dengan zaman muda remaja. Ketika otak gila-gila, suka eksperimen itu ini dengan pelbagai kerenah dalam hidup menjadikan kisah cinta remaja satu fasa yang boleh dikatakan epik dalam hidup seseorang.

Kita selalu dengar, cinta pertama selalunya datang pada usia remaja. Memang benar, kebanyakan individu mengakuinya. Namun perbezaan cinta remaja zaman dulu dan sekarang menjadikan ia nostalgia berbeza bagi setiap yang melaluinya. 

Jika kita dengar cerita cinta ibu bapa sekitar zaman 60-an atau 70-an dulu, pasti akan terfikir manisnya kisah mereka diwarnai pelbagai dugaan dan cabaran, tak kiralah dari segi berkomunikasi atau temu janji pasti ada halangannya. Berbeza remaja sekarang, kecanggihan teknologi sedikit sebanyak mencacatkan kenangan zaman muda kerana kurang mencabar dan lebih terbuka. 
Dulu surat sekarang whatsapp
Remaja zaman dulu bukanlah bermaksud mereka yang membesar sebelum masihi. Tetapi remaja sekitar tahun 60-an atau 70-an berbanding anak muda sekarang yang rata-ratanya dilahirkan sekitar 90-an atau tahun 2000 ke atas. 
Seperti kita tahu, mulai tahun 2000, perkembangan era milenium cukup menonjol khususnya dalam bidang teknologi. Impak pembangunan dunia turut terkena tempias remaja dengan pengaruh paling besar dapat dikaitkan dengan teknologi. 

Jika diimbas memori dulu, kita sering diceritakan dengan susah payah pasangan bercinta untuk berkomunikasi kerana telefon bukanlah gajet mampu milik yang wajib ada bagi setiap orang seperti hari ini. 

Diceritakan kepada penulis, dulunya pejabat pos menjadi rumah kedua apabila surat adalah satu-satunya cara untuk mereka berhubung. Itu belum lagi kisah surat disorokkan ibu, atau surat tidak sampai ke rumah. Ternyata, dugaan seperti inilah menjadikan ia kenangan yang tak dapat dilupakan. 

Lain kisahnya cinta anak muda zaman sekarang, telefon pintar 24 jam melekat di tangan, SMS, Whatsapp, Line dan pelbagai jenis aplikasi lagi diwujudkan bagi memudahkan kita berhubung. Bahkan panggilan video juga antara cara mudah untuk melepaskan rindu. 


Dulu yankee, sekarang skinny 

Gaya berpakaian antara elemen ketara yang dapat kita lihat dalam perbezaan zaman cinta dulu dan sekarang. Irama Pop Yeh Yeh menjadikan seluar yankee sebagai trend popular sekitar 70-an namun daripada potongan kembang di kaki, kini anak muda lebih selesa dengan seluar senteng dilipat hingga paras buku lali. Pengaruh muzik dan perkembangan fesyen dunia menjadikan setiap zaman berubah identitinya. 

Bukan gaya berpakaian saja mahu dikongsikan, tetapi gaya percintaan juga jauh berbeza. Hubungan muda-mudi kini lebih bersifat terbuka. Berjalan berpegangan tangan, memaut pinggang si gadis adalah perkara biasa. 

Tanpa segan menunjukkan kemesraan di tempat umum dengan gerak-geri ibarat pasangan yang tidak dapat dipisahkan antara ragam muda-mudi sekarang. Kurangnya perhatian ibu bapa secara tak langsung memberi ‘lampu hijau’ kepada pasangan remaja terus menyimpang jauh dari landasan sepatutnya. Jika dulu, mungkin rotan akan hinggap di badan meskipun hanya dilihat berborak kosong berduaan. 

Tak dinafikan, pengaruh filem romantis terutama dari barat sedikit sebanyak membentuk gaya hidup seseorang. Ditambah pula jaringan sosial tanpa sempadan dan pergaulan tanpa had membuatkan pasangan remaja kini lebih terarah kepada budaya Barat dalam bercinta. 


Dulu bawah bantal, sekarang dalam fb 

Semakin canggih dunia teknologi, semakin kreatif generasi muda kini. Buktinya dapat dilihat dalam laman sosial yang makin bercambah bilangannya. Facebook, Twitter, Instagram dan blog digunakan sebagai pentas untuk memperagakan teman lelaki dan teman wanita masing-masing. 

Lain kisahnya 30 tahun lalu, gambar pemberian pasangan disimpan kemas di bawah bantal. Diselit kukuh di dalam dompet semata-mata untuk disembunyikan daripada pengetahuan orang lain. Malu untuk mengaku bercinta menjadikan perjalanan zaman remaja lebih manis apabila kasih terus utuh hingga ke jenjang pelamin. 

Zaman sekarang, sikap malu bukan lagi menjadi pegangan utama khususnya buat si gadis. Gambar berpelukan tanpa ikatan, bercumbuan ibarat selebriti antarabangsa tanpa segan silu dimuat naik di laman sosial untuk tatapan semua. Bangga apabila kisah cinta menjadi tatapan rakan, malah lebih menghairankan apabila ada di antaranya baru bercinta kurang seminggu.



Emm teringat saya kat lagu ni penuh dengan nasihat.

SM salim

Lirik Cinta Dulu Dulu Cinta Sekarang :

Hai cinta dulu-dulu
Cinta malu-malu
Cinta dulu-dulu
Memang susah nak bertemu

Bila sudah dapat bertemu
Nak cakap apapun tak tahu
Tegak berdiri tersipu-sipu
Seram sejuk kaku membisu

Sejak kecil sudah diasuh
Pantang larang dipegang teguh
Mulia sungguh cinta dulu
Adat resam budaya Melayu

Alah cinta zaman sekarang
Sudah terlupa pantang larang
Cinta zaman sekarang
Di khalayak ramai dia pegang-pegang

Kalau ditegur dia meradang
Macam harimau nak menerkam
Maruah bangsa sudah terancam
Kerana perbuatan segelintir orang

Hidup penuh berpoya-poya
Kalau kahwin pun tak kekal lama
Bila dah dapat yang di idam
Habis manis sepah dibuang

Hai cinta dulu-dulu
Ikut nasihat ayah dan ibu
Cinta dulu-dulu
kalau nak kahwin bertanyalah dulu

Berisik-risk bertanya-tanya
Ayah dan ibu dan anak siapa
Bila sudah berumah tangga
Kekal hingga sampai ke tua

Cinta dulu cinta mulia
Ikut aturan budaya bangsa
Hidup mereka sungguh bahagia
Cangkul dan tanah memisahkannya


Tiada ulasan:

Catat Ulasan